Apabila ditanyakan erti 'kemerdekaan', apakah yang terlintas dalam fikiran saudara-saudari sekalian? Adakah makna 'kemerdekaan' sekadar 'kebebasan' sahaja? Ataupun 'merdeka' hanyalah sebahagian daripada sejarah? Persoalan-persoalan mungkin hanya wujud dan diperbahaskan apabila Hari Kemerdekaan kian menjelang tiba.
Sebagai seorang anak Merdeka yang lahir di negara yang telah bebas selama 48 tahun daripada cengkaman kuasa asing, adalah sukar untuk saya mendefinisikan erti 'kemerdekaan'. Memang benar bahawa saya tidak pernah alami peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh pejuang-pejuang tanah air tercinta kerana saya tidak dilahirkan dalam era tersebut. Oleh itu, saya tidak mungkin memahami segala perit dan derita yang dialami oleh para nasionalis pada zaman itu. Jika generasi muda dikatakan bagai kacang lupakan kulit hanya disebabkan salah sangka bahawa kami tidak memahami perjuangan tokoh-tokoh yang membimbing negara Malaysia ke arah kemerdekaan dan kemajuan, tuduhan ini amat membingungkan.
Haruskan kita merumitkan lagi keadaan? Adakah usaha-usaha para pejuang kemerdekaan harus dipersia-siakan kerana masyarakat saling menuding jari dan mempertikai?
Walaupun kemerdekaan yang diperjuangkan pada masa itu tidak mungkin dihayati sepenuhnya oleh generasi muda, sekurang-kurangnya sebahagian besar daripada kami masih lagi menghormati dan menghargai jasa-jasa pejuang kita. Kami masih lagi berjiwa patriotik dan kami mampu membimbing negara ke arah kemajuan dan keharmonian. Negara kita mempunyai bakal-bakal pemimpin yang berpotensi dalam pelbagai bidang seperti sukan, akademik, kesenian dan keusahawanan. Ramai lagi di kalangan remaja yang mempunyai bakat terpendam yang belum dicungkil. Kami memerlukan sokongan dan pengiktirafan, bukannya syak-wasangka dan tekanan, untuk memberi pengertian baru kepada 'kemerdekaan'.
Namun, kontroversi masih tidak dapat dielakkan kerana pemikiran individu yang berbeza. Sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa kadang-kala menyebabkan remaja berasa sesak dan terhimpit dengan tekanan dan prasangka yang dilemparkan. Apakah yang boleh dibuat jika kebebasan suara dan pemikiran muda-mudi dihadkan? Percayakah anda bahawa kanak-kanak yang sentiasa dilabelkan 'bodoh' dan diherdik sejak kecil lagi, akan menjadi seorang yang bodoh dan tidak berkeyakinan diri kelak nanti? Pada pendapat saya, kemerdekaan yang dikecapi sekarang adalah kebebasan suara dan pemikiran yang menjanakan idea-idea yang membina supaya kita menjalani kehidupan dengan kepuasan serta mengekalkan kemerdekaan sehingga akhir hayat.
Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya sempena Hari Kemerdekaan yang ke-48, kita mempunyai kemajuan dari aspek fizikal, iaitu bangunan dan infrastruktur yang canggih. Namun, kita masih perlu mempertingkat usaha-usaha dalam pembangunan sosial negara. Masyarakat masih ketinggalan dari segi nilai-nilai moral seperti budi pekerti dan kesedaran sivik. Saya amat bersetuju dalam hal ini. Penilaian seseorang individu adalah melalui sikap dan tingkah-lakunya dan bukannya harta benda. Dunia materialistik tidak akan kekal selama-lamanya. Tiada gunanya jika sesebuah negara mempunyai bangunan yang tertinggi ataupun teknologi yang tercanggih, tetapi rakyatnya tidak berbudi bahasa dan saling berbalah. Remaja perlu bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Janganlah kita dipandang rendah oleh orang lain dan mengurungkan diri dalam dunia sendiri. Jika anda menghargai diri anda sendiri, gunalah otak dan hentikanlah perbuatan yang merosakkan diri seperti menyalahgunakan dadah, alkohol, rokok dan lain-lain lagi. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bukannya semua remaja yang tidak menghargai diri sendiri, tetapi ramai orang yang hanya melihat dari sudut negatif sahaja.
Kesimpulannya, Hari Kemerdekaan yang diadakan bertujuan untuk meraikan kemerdekaan negara dan mengingati jasa-jasa para pejuang negara. Namun, bagi saya...kemerdekaan ini memberi suatu semangat baru untuk kita sama-sama maju di bawah pucuk pimpinan yang berwibawa. Akan tiba suatu hari di mana pemimpin generasi baru akan menyerlah dan membimbing negara ke arah kesejahteraan.
Asalkan anak Merdeka tidak melupakan diri.
SELAMAT HARI MERDEKA KE-48, MALAYSIA!!!
Wednesday, August 31, 2005
Apakah Erti Kemerdekaan?
at
12:01 AM
Subscribe to:
Comment Feed (RSS)
|